Sunday, September 14, 2014

Putus Asa

Assalamualaikum.


Sejak kecil, aku bercita-cita untuk menjadi seseorang yang sentiasa memberi pertolongan kepada orang lain. Sentiasa menawarkan senyum dan harapan kepada mereka yang memerlukan. Kerana aku kerap menemui bahagia apabila menghulur tangan kepada yang mahu merasa.


Kerana itu, aku melihat bidang perubatan sebagai satu bidang yang membolehkan aku menolong lebih ramai manusia. Walaupun jauh di sudut hati, minat aku lebih cenderung kepada seni dan bahasa.


Berkali-kali aku menukar cita-cita sewaktu masih dalam fasa mencari arah beberapa tahun sudah. Istikharah juga dilakukan berulang kali. Namun jawapannya tetap sama - Perubatan.


Aku tekadkan hati dan bulatkan jiwa untuk berjalan juga pada haluan yang ini.


Setahun lebih aku di sekolah perubatan, aku perasan satu perkara. 
Hampir kesemua jiwa manusia yang aku temui disini tidak berhasrat untuk mengambil perubatan sebagai pilihan pertama.


Kebanyakan mereka menabur langkah dalam bidang ini kerana harapan (dan desakan) keluarga. Tidak kurang juga yang cemerlang dalam SPM dan sebagaimana minda tipikal Malaysia - Straight A's is a doctor to be.


Dan bergunung keluhan serta amarah pernah juga aku dengarkan.
Semuanya gara-gara kehidupan yang datang bersama keputusan untuk menyambung juang dalam perubatan.


Tidaklah aku katakan aku mengambil bidang ini hanya kerana keputusan SPM aku baik dan keluarga juga mendesak. Tidak pernah sekalipun rasa sebegitu datang.


Aku meminati bidang ini, sebagaimana yang telah aku tuliskan sebabnya di atas - Kerana aku mampu mengislah diri melihat jiwa lain yang berhak sesuatu yang lebih baik dalam hidup mereka.


Dan apa sajalah yang tinggal untuk kita selain jasmani yang sihat?


Pada pandangan peribadi aku, untuk belajar dalam bidang perubatan tidaklah sukar. Asal sahaja rajin dan kenal cara belajar diri, mudah saja.


Pada aku, apa yang sukar adalah kehidupan yang datang bersama-sama lima tahun itu.


Sukar. Sakit. Lelah.


Beberapa bulan yang lalu, aku diuji dengan satu perkara yang tidak pernah aku jangkakan akan tiba seawal itu. Tidak pernah aku bayangkan rasa hati akan sesakit itu. Rapuh hancur remuk redam. Segalanya aku lihat semakin kelam dan gelap.


Sehingga satu saat aku mahukan dunia ini berhenti berputar agar aku mampu mencari ruang untuk bernafas.


Pedih.


Dan sejak itu, aku melalui hari-hari seterusnya dengan jiwa kosong dan senyum pudar. Aku tidak lagi melihat apa-apa kegembiraan dan harapan. Seperti jerangkung hidup tidak bernyawa, aku teruskan nyawa dan brgerak saja mengikut arah angin.


Setiap pagi aku bangkit dari tidur dengan perasaan kesal, marah dan hampa.
Setiap malam juga aku tidur dengan harapan apa yang bakal aku mimpikan lebih baik berbanding realiti yang aku sedang telan.


Kerana itu, aku sudah hilang minat dalam apa-apa saja perkara yang pernah menjadi kesukaanku. Termasuk perubatan.


Aku sudah berhenti membaca.
Berhenti melukis.
Berhenti menulis.
Berhenti bercakap.
Berhenti mencuba.


Sampai satu saat, apa yang aku mahu hanyalah untuk pulang ke rumah dan menghabiskan hari-hari yang bersisa bersama bonda, ayahanda dan adik-adik. Berlima sahaja sampai mati.


Entah sampai bila perasaan kalah ini mahu kekal hidup.

Sunday, September 7, 2014

Cerita 7 Sept 2014

Aku sampai  Klang Sentral sekitar jam 3:18 p.m.  3 minit lewat dari waktu bas puteriku sepatutnya bertolak Seperti yang sering terpapar dalam filem, sebaik saja kakiku jejak ke tanah, aku segera berlari sepantas kudratku.  Walau aku bukanlah seorang yang kuat berlari even masa aku remaja

Memang terasa ada banyak mata yang memerhati...tapi peduli apa aku!  Lagipun, aku rasa aku tak hodoh sangat masa lari tu.....

Sepanjang aku berlari aku melihat lampu 'reverse' bas Plusliner...ya Allah moga2 aku diberi kesempatan untuk bertemunya..
Bila langkahku sampai, ku lihat lambaian tangan suamiku telah berakhir..
Bas berlalu pergi..
tanpa berpeluang untuk bertemu dengan puteriku..
Alangkah kecewa, sedih, kesal, dan berbagai2 perasaan lagi..

Maafkan bonda anakanda
Perjuangan ini begitu menuntut pengorbanan
Walaupun detik ini telah sering kita lalui
Namun perpisahan yang membahagiakan ini tetap mengundang kesedihan

Anakanda akan pulang lagi
Bonda sentiasa menanti kepulanganmu


p/s tak dpt bygkn jika akau terlepas flight ke India
   

Wednesday, August 27, 2014

Dunia Kami

Assalamualaikum.


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Nama diberi Aqila, empunya kepada blog Aqila Syahiena. Puteri sulung buat pasangan Mohd Noor dan Saadah. Pelajar perubatan tahun kedua yang masih dalam fasa pencarian diri dan kerap juga sesekali menangis kerana rindukan keluarga setiap kali dalam perantauan mencari ilmu.


Tiada satu pun perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan bonda.


Kerana bonda Saadah merupakan segala-galanya.


Permaisuri yang melahirkan.
Ibu yang membesarkan.
Kekasih yang menyayangi.
Sahabat baik yang mendengar.
Cinta yang membelai.


Apa-apa saja jenis kebaikan yang ditawarkan oleh dunia -
Semua empunya bonda.


Kita berdua banyak berkongsi cerita. Tapi bondalah yang lebih banyak mengelap air mata. Semua cahaya tawa anakanda telah bonda senyumkan. Dan semua duri hiba anakanda juga telah bonda telankan.


Sementara usia masih bersisa, sementara kita masih diizinkan bersama ;
Dunia kita berdua tetap akan anakanda coretkan cerita.


Oleh itu anakanda cipta satu ruangan.
Untuk kita berdua sama menulis rasa.
Segala yang tidak dapat kita berdua ceritakan secara vokal dan bait kata.


Blog ini akan menjadi tempat kita - Dunia kita.
Permaisuri dan puteri.


Temankanlah anakanda menulis, bonda.
Biar tulisan kita kekal hidup di kayangan maya, meski suatu hati nanti kita berdua akan pergi untuk bertemu kembali di syurga yang sama-sama kita tunggu dan tuju.


Salam sayang, 
Anakanda.